Wednesday, May 14, 2008

13 Mei 1969 - satu amaran?

13 Mei 1969 – bukan soal tidak mahu mengingatinya tetapi persoalan adalah untuk mengambil iktibar dari nya. Persengketaan antara kaum hasil dan terbit dari percanggahan idealisme politik yang menjadi sumbu utama kepanasan dan ketegangan yang ada pada waktu itu. Kedudukan sosiopolitik negara yang tidak stabil, jarak kedudukan ekonomi antara kaum dan persengketaan politik menjadi kerancakan yang mungkin menjahanamkan negara.



13 Mei 1969 hari ini telah diterjemahkan dengan pelbagai kontroversi. “Terjemahan berniat” ini juga merupakan kekuatan Pakatan Palsu Rakyat dalam membicarakan kononnya UMNO adalah bapak segala istilah perkauman. Barisan Nasional adalah parti rasis dan mengutamakan perkauman. Hari ini kepimpinan Pakatan Rakyat memainkan isu kesamarataan dan keperluan kesamarataan sebagai asas keadilan tanpa merujuk keadaan kedudukan baik ekonomi, sosial dan politik antara kaum. Bagi Pakatan Rakyat kesamarataan itu adalah keadilan yang di tuntut oleh demokrasi. Ini mengghairahkan kaum-kaum lain di Malaysia dan ini adalah punca sokongan. Pakatan Rakyat dalam memperjudikan isu-isu sensasi ini untuk mendapat undi dari kaum lain di Malaysia tanpa menghiraukan apa akan berlaku di masa hadapan bila kemakmuran antara kaum berbeza, bila kedudukan ekonomi antara kaum meluas perbezaannya dan keadaan kekusutan sosial turut meliputi sesuatu kaum khususnya Melayu. Impak memperjudikan hak pegagan yang ada pada Melayu khususnya politik akan memberi kesan yang amat buruk kepada negara kita ini.

Menghalalkan cara – bukan sepatutnya dilihat dari sudut keagamaan. Menghalalkan cara perlu dilihat dari segi natijah politik yang menjadi cara dan metodologi Pakatan Rakyat. Mentakrif demokrasi dan hak kemanusiaan secara terbuka tanpa kerangka yang mampu memberi “orde” kepada perjalanan kemasyarakatan adalah perbuatan yang songsang dalam pengurusan pentadbiran negara. Ini mungkin membuat rakyat teruja – dalam mahukan demokrasi yang menyeluruh dan perjuangan hak-hak kemanusiaan yang total seakan memberi kesedapan hidup bermasyarakat yang menyeluruh tetapi hasilnya tidak akan memberi orde yang sesuai dan ini pasti memberi ruangan kepada pergeseran kaum. Amaran – sekiranya ini berlaku dalam zaman ini, ia pasti lebih menggerunkan dengan sikap oportunis negara luar seperti Singapura terhadap kekusutan dalam negara ini.

Kedudukan negara kita kini lebih kusut dari yang apa yang kita nampak. Perpecahan Melayu bukan satu agenda yang perlu dipandang ringan. Perpecahan Melayu akan memberi impak yang cukup kritikal di masa akan datang. Ini akan menyebabkan Melayu itu sendiri bergolak dan pergolakan itu akan mendatangkan musibah besar pada struktur sosiopolitik negara kita ini. Ini akan berlaku sekiranya keadilan yang dilaksanakan adalah melalui proses kesamarataan tanpa melihat senario kedudukan pencapaian yang ada serta pegangan sesuatu kaum itu. Jarak perbezaan ekonomi akan lebih meluas antara kaum dan ini pasti akan menerbitkan kegusaran dalam struktur masyarakat itu nanti. Penjajaan kerajaan yang ada tidak demokratik secara total adalah tidak benar dan kaum ada pun maka langkahnya bukan menjual hak untuk menyempurnakan demokrasi yang ada.

Peristiwa 13 Mei 1969 – bukan satu ugutan politik. Peristiwa itu adalah sejarah yang perlu di kenang sebagai sesuatu yang tidak seharusnya berlaku. Kita perlu kepada orde masyarakat yang lebih jitu yang mungkin tidak juga dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional sebelum ini. Tetapi itu bukan alasan untuk kita menyokong tindakan kesamarataan yang longgar, pengertian demokrasi yang menguntungkan sesuatu pihak dan perjuangan hak kemanusiaan yang hanya mempunyai idealisme individu yang dibesarkan untuk mencuri kuasa.

Jangan biarkan tindakan kita hari ini sebagai langkah untuk memulakan api persengketaan kaum lantas merosakkan kedudukan masyarakat yang ada hari ini. Akhirnya dalam tulisan ringkas ini, jangan kita bertindak menjual hak yang ada untuk menyempurnakan pengertian demokrasi yang infinitif. Ini kelak akan menjadi dosa kita kepada rakyat negara kita. Pakatan Rakyat yang ada perlu dinilai semula dan kegusaran hari ini sudah terbit mengenai arah yang mahu dibawa.

Jangan sampai pula pada keadaan bukan Melayu hilang di dunia tetapi hamba di tanah sendiri.

Anuar Mohd Nor

Friday, May 09, 2008

Anwar Ibrahim - bahaya?



Mahathir bersuara lagi – ancaman Anwar Ibrahim jangan diambil mudah. Anwar Ibrahim hari ini seakan mendabik dada mengatakan bahawa beliau hampir pasti akan menjadi Perdana Menteri dengan Pakatan Rakyat. Adakah ini perang saraf atau benar-benar akan menjadi satu realiti. Adakah kehadiran Anwar sebagai Perdana Menteri akan memacu Malaysia tanpa batasan bangsa dan kaum lantas Melayu akan hanya tinggal sisa-sisa nama dengan rujukan utama rakyat Malaysia adalah Bangsa Malaysia. Apa perlunya terma Bangsa Malaysia kalau Malaysia sudah tidak ada perbezaan kaum – semuanya rakyat Malaysia.


Bangsa Malaysia adalah satu rujukan palsu untuk semua kaum-kaum di Malaysia kerana Bangsa Malaysia adalah sebenarnya sebutan bagi menggadai hak sebenar Melayu. Bukankah ini satu realiti. Bahaslah mengenai hak keistimewaan Melayu yang mahu di pertahankan oleh Anwar Ibrahim sedangkan dalam hakikat lain beliau mahu mencairkan pegangan Melayu secara terbuka untuk menakluki undi kaum lain.


Bangsa Malaysia – sebut sahaja rakyat Malaysia – di mana identiti Melayu dalam keluarga Bangsa Malaysia? Sekali lagi – laman ini akan dilabel oleh YB Jeff Ooi dan Malaysia Today sebagai “most dangerous site” – kerana bertanya mengenai satu persoalan yang benar - Bangsa Malaysia, ada atau tidak ada, wujud atau tidak wujud, benar atau palsu – atau hanya satu terminologi berpaksikan kepentingan sesuatu kaum untuk mengaburi langkah penghakisan keistimewaan kaum Melayu yang ada.


Apa yang sebenarnya mahu diperkatakan, rasis atau artikel realiti. Bangsa Malaysia tidak pasti wujud dalam keadaan masyarakat kita berbilang bangsa. Ia akan ada sebagai satu pertahanan palsu kononnya kita menolak kehadiran kaum lain dengan menggantikannya sebagai satu asimilasi kaum dan budaya. Adakah mampu itu berlaku – tidak mungkin dalam 100 tahun lagi. Dalam keadaan perjuangan Hindraf, dalam keadaan menuntut lebih sekolah Cina dan mahu lebih banyak bandar komuniti Cina dan lain-lain perjuangan kaum yang ada, kita mahu sebut Bangsa Malaysia. Karut bukan.


Kita akan tetap berlainan kaum – pokoknya harmoni. Namun dalam keadaan Dr Mahahtir membayangkan ancaman Anwar Ibrahim yang mungkin membahayakan bangsa Melayu maka satu penelitian khusus perlu dilaksanakan untuk menyedarkan kita khususnya orang Melayu – bila ketuanan Melayu mahu diganti dengan ketuanan rakyat. Yang hilang adalah ketuanan siapa?


Anwar Ibrahim mahu meragut undi popular bangsa dan kaum lain. Melayu biar berpecah dan perpecahan ini menguntungkan Anwar Ibrahim. Itu hakikat dan itu sebenarnya. PKR bukan satu parti tetapi ada hanya satu dominan karakter - Anwar Ibrahim.


Justeru itu – apa dia Bangsa Malaysia, mungkin sewaktu raya selepas solat Hari Raya ada hiburan tarian naga dan seruling India sekali. Yang pasti apa yang Anwar Ibrahim buat hari ini – jelas membelakangkan kepentingan Melayu malah hasrat beliau adalah untuk menjadi Perdana Menteri sahaja.

Sunday, May 04, 2008

Warisan

Hayatilah lagu lama ini



Kita sudah tiada masa

Lagu warisan atau dengan kata lirik awalnya anak kecil main api memang mempunyai pengertian yang cukup mendalam mengenai arah tuju dan nasib masa depan orang Melayu. Isu yang menitik beratkan nasib orang Melayu sering dipatahkan dengan alasan konon-kononnya itu agenda politik UMNO. Demarkasi dalam politik ini sering menjadi penghalang kepada penyatuan.

Kita sudah tiada masa seperti yang diungkapkan dalam lagu warisan itu jelas kalau diambil dari sudut situasi hari ini mempunyai petanda-petanda buruk mengenai nasib orang Melayu. Petanda awal telah digambar sekian lama dengan lumpuhnya pegangan ekonomi orang Melayu. Bangsa asing, kalau di baca dari statistik-statistik yang ada menunjukkan bahawa Melayu amat terpinggir dalam pegangan ekonomi berbanding dengan bangsa lain dan ini amat memalukan-khusus kerana kita rakyat bumiputera tanah ini.

Melangkah dari pegangan ekonomi orang Melayu yang semakin terhakis kita kini berdepan dengan kuasa politik yang kini jelas sedang terancam. Kuasa yang berkurangan dari sudut nilai kini menjadikan Melayu semakin tersisih dan permasalahan ini seakan tidak ada penghujungnya. Tuduhan yang paling senang adalah UMNO punca masalah kerana UMNO adalah peneraju perjuangan orang Melayu. Mungkin kebenarannya ada. Mungkin benar bahawa kepimpinan Melayu yang sudah “veteran” gagal melihat visi dan inspirasi baru orang Melayu. Interpretasi usang yang penuh di kangkangi batasan politik dan kehendak diri menjadi budaya yang melemahkan Melayu itu sendiri. Kepimpinan lama dengan ideologi lama angkuh dengan apa yang mahu dilihat dan bukan melihat apa yang benar-benar berlaku dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Malang ini semua “halal” dan dihalalkan oleh kita orang Melayu.

Kedudukan kita dengan mentaliti lama membenarkan kepimpinan kita melakukan hampir apa sahaja yang difikirkan sesuai untuk zaman ini. Politik lama, metodologi usang dan persepsi pendek menjadikan UMNO itu tidak relevan dan Melayu itu sebagai penebus dosa kepimpinan – kepimpinan angkuh dan lapuk ini.

Kalau UMNO dengan kepimpinan mereka bersalah dan meleset dari memanifestasikan harapan orang Melayu maka mereka sewajarnya di tukar. Kepimpinan vokal peringkat bahagian dan cawangan perlu didengari bukan menyelangkup suara dan kehadiran mereka semata-mata tidak mahu melihat individu itu naik mencabar kuasa kepimpinan lapuk ini. Itu langkah awal dan itu langkah yang boleh menunjukkan isyarat pembaharuan yang boleh memberi talian hayat kepada Melayu. Apa pun masa kita sudah sehampir tiada. Mana Melayu akan berada 5 tahun akan datang sudah tidak nampak kabur.



Saturday, May 03, 2008

Gadai Hak Melayu

Gerakan pembaharuan dalam UMNO

Tidak dapat dinafikan hanya 2 sahaja wadah politik yang mampu menetapkan Agenda Melayu, Parti Islam Se Malaysia dan UMNO. Penetapan Agenda Melayu ini perlu dan tidak boleh disangkal kepentingannya. Mereka yang menafikan usaha permuafakatan Melayu atau usaha membentuk agenda Melayu atau mempertahankan hak Melayu hanya mementingkan agenda politik mereka sendiri. Mereka secara tidak langsung membawa agenda yang merugikan Melayu.

Dalam pada itu UMNO adalah wadah Melayu. Hari ini wadah Melayu itu tercalar dan seolah-olah keyakinan terhadap UMNO sudah pudar. Barisan Nasional dengan UMNO sebagai parti dominannya nampak seakan tersungkur dan keadaan ini tidak menampakkan perubahan malah akan terus tenggelam. Ke mana UMNO selepas ini? Ke mana Melayu? Siapakah yang akan membela Melayu - PAS atau PKR. Mungkin kita boleh hidang nasib bangsa kita pada DAP? Mungkin itulah yang Pakatan Rakyat mahu. Kesamarataan yang sebenarnya menggadai hak Melayu itu sendiri.

Tidak dapat juga kita nafikan bahawa UMNO telah melakukan berbagai-bagai kesalahan yang meletakkan mereka dalam keadaan kritikal sekarang ini. Ikhtiar dan usaha dikatakan sedang berlaku untuk membersihkan parti keramat orang Melayu itu. Namun usaha itu sehingga kini nampak tempang dan semakin cacat. Apa yang perlu dibuat untuk memulakan langkah meningkatkan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO. Apa yang perlu kita lakukan. Adakah kita sedar mengenai bentuk dan usaha Pakatan Rakyat dalam terus menguasai politik negara ini? Siapa dominan dalam Pakatan Rakyat ini?

Usaha Pakatan Rakyat amat mudah. Dapatkan sokongan Cina dan kaum lain. Untuk Melayu biarkan mereka berpecah dari sudut sokongan. Ini akan menjamin kemenangan Pakatan Rakyat. Mengenai hak dan usaha mempertahankan Melayu, itu agenda lain. Agenda utama adalah merebut kuasa. Pakatan Rakyat dalam usaha ini melancarkan Ketuanan Rakyat – satu konsep yang Anwar Ibrahim cipta dalam perjalanan ke Kg Baru. Konsep dan terminologi yang tidak dikira impak dan kesannya kepada Melayu.

Oleh sebab itulah orang yang pernah menjadi orang kanan Anwar Ibrahim – Ezam Mohd Nor meleraikan dirinya dari perjuangan palsu Anwar Ibrahim. Ezam Mohd Nor dalam kenyataan beliau baru-baru ini dalam tabloid Siasah mengatakan bahawa Anwar Ibrahim tidak pertahankan Melayu. Inilah yang perlu kita fikirkan kerana menyerahkan kepimpinan negara ini kepada Pakatan Rakyat amat meragukan kepada “survival” Melayu. Ezam Mohd Nor dapat di lihat sebagai menolak Anwar Ibrahim untuk menjadi kepimpinan negara ini kerana gagal mempertahankan hak atau lebih drastik lagi tidak mahu mempertahankan hak Melayu untuk “survival” politiknya sendiri. Mungkin ini sebenarnya wajah Anwar Ibrahim dan mungkin Ezam Mohd Nor tidak hipokrit dalam perjuangannya.
Blog
www.arahkita.blogspot.com mengajak kita untuk berbincang secara telus apakah yang dapat membantu UMNO memulihkan keyakinan Melayu terhadap perjuangan parti beliau dan adakah Pakatan Rakyat sebenarnya menggadai hak Melayu?

Sunday, April 20, 2008

Pertahankan hak Melayu – Ketuanan Melayu



Hari ini terma baru lahir – Ketuanan Rakyat dan Ketuanan Rakyat ini tidak sepatutnya dan tidak boleh menggantikan Ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu perlu dipertahankan. Salahudin Ayub dari Dewan Pemuda PAS dan Azmin Ali bersetuju secara dasar untuk berbincang mengenai isu mempertahankan hak orang Melayu dengan UMNO.

Justeru itu apakah sebenarnya agenda permuafakatan tersebut? Adakah ini tidak akan menimbulkan kemarahan dari kaum-kaum lain? Kenapa kita tidak boleh bercerita mengenai mempertahankan hak Melayu yang semakin masa semakin terkikis. Adakah tidak benar Melayu dalam Bahaya?

Sememangnya ada kelihatan keuzuran Melayu biarpun di tanah air sendiri. Melayu perlu mempertahankan hak baik dari segi ekonomi mahupun politik. Pertahanan hak ini perlu agar Melayu, bukan menjadi tuan di negara ini tetapi mempunyai kekukuhan kedudukan . Hari ini bukan sahaja ketirisan malah apa yang di genggam baik kuasa politik mahupun ekonomi kini dipegang oleh kaum lain. Pegangan inilah yang pernah kita rujuk sebagai Melayu Dalam Bahaya dan pegangan ini secara kolektif terhakis memungkinkan Ketuanan Cina melampaui Ketuanan Melayu.

Adakah kenyataan itu salah? Adakah kenyataan itu melampau? Takutkan kita pada kenyataan sebenarnya mengenai ketuanan bangsa lain melampaui bangsa kita? Bukankah telah disebarkan statistik mengenai pendapatan purata orang Melayu jatuh di tempat tercorot berbanding dengan Cina dan India. Itu belum dikira pula kemiskinan tegar di kalangan orang Melayu yang melangkau melebihi kaum lain di Malaysia.




Bukankah kita patut akui bahawa sekiranya keadaan ini berlarutan dan terdapat kepincangan dalam sosiopolitik dan ekonomi negara ini maka kemungkinan-kemungkinan kegusaran antara kaum akan berlaku? Ini adalah fakta berhemah yang pernah di ulas dan mempunyai jelas kebenarannya.

Hari ini kita pula disergah dengan pemilikan bangunan di Malaysia yang kebanyakannya adalah milik kaum lain. Adakah kita masih mahu berselimut untuk tidak menyakitkan hati sesiapa lalu diam membiarkan perkara ini berlaku. Ini adalah “survival” bangsa dan ini hakikat yang memerlukan kita untuk mempertahankan hak agar – BUMI DIPIJAK BUKAN MILIK ORANG.

Ketuanan Rakyat anjuran sesetengah pihak adalah kenyataan politik menjual hak Melayu. Tindakan mahu juga membicarakan ketuanan, terlampau angkuh mahukan kuasa maka ketuanan rakyat dilemparkan untuk mengelirukan sedangkan isu ketuanan rakyat ini bukan satu isu pokok kerana itu adalah asas prinsip demokrasi. Ketuanan Melayu adalah persoalan hak, persoalan kedudukan orang Melayu dan persoalan pembelaan kemiskinan dan ketinggalan orang Melayu. Ini adalah perbicaraan terbuka dengan menilai kedudukan orang Melayu. Ini persoalan bangsa dan bukan persoalan ideologi politik.

Persoalan tersebut tidak memerlukan lagi sinopsis siapa bersalah kerana kesalahan itu melibatkan semua, kepimpinan Melayu dan orang Melayu itu sendiri. Kesalahan ini sudah cukup diketahui dan kemungkinan klimaks kesalahan orang Melayu hari ini adalah ketirisan kuasa yang dipegang.

Hari ini akan terjadi satu petunjuk baru mengenai ketirisan kuasa kerana ketirisan kuasa ini menambah lagi satu lagi bentuk kekurangan untuk orang Melayu. Penghakisan ini amat membimbangkan. Persoalan kesamarataan yang dituntut sebenarnya menghakis hak yang ada. Menuntut ketuanan rakyat kononnya untuk menunjukkan liberalis yang ada sebenarnya mempunyai matlamat tersendiri yang tidak menguntungkan bangsa. Ini perlu di sedarkan agar kita tidak terikut dengan konsep kesamarataan sebagai satu keadilan. Kita perlu menilai di mana Melayu berada dan apa sebenarnya yang perlu dipertahankan sebagai hak Melayu. Kontrak sosial adalah kontrak sepanjang hayat yang perlu kita tegaskan dengan penjelasan konkrit. Isu ketidakadilan tidak timbul dan isu diskriminasi juga tidak timbul dalam kita melalui perkembangan bangsa khususnya dalam soal-soal kebajikan dan pendidikan. Pegagan ekonomi oleh kaum lain menunjukkan diskriminasi yang di katakan wujud hanya satu kesimpulan politik.




Ketuanan Rakyat adalah satu justifikasi palsu yang sebenar berhasrat untuk membawa politik idealisme Pakatan Rakyat di terima secara total oleh kaum lain sementara bertindak untuk kekal memecahbelahkan Melayu untuk tujuan memperoleh kuasa. Tindakan ini amat merugikan dan perlu kita sedarkan. Tuduhan berterusan mengenai “salah siapa” tidak seharusnya berpanjangan tetapi memperkasakan rakyat untuk memilih dan memahami perlu dilaksanakan. Tindakan menjual-bangsa untuk kuasa adalah sat pengkhianatan. Ini perlu kita tolak dan sekali lagi penjelasan mereka adalah perlu.

UMNO pada am juga telah melakukan kesalahan. Kesilapan dan sikap prioriti yang salah adalah punca-punca UMNO berada di mana ia berada sekarang ini. Menjaga kepentingan sekelompok tertentu menjadikan kredibiliti UMNO tergugat dan unsur-unsur kompromi melampau untuk memegang kepimpinan dalam UMNO melukakan UMNO dari aspek demokrasi. Ini adalah punca pengasingan Melayu baru terhadap UMNO tetapi kewujudan UMNO sebagai simbol kekuatan Melayu perlu ada sungguhpun sudah terhakis.






UMNO memang perlu berubah dan perubahan itu tidak akan menarik legasi lama untuk singgah semula dalam masa terdekat. Banyak usaha perlu diambil khususnya untuk menaturalisasikan konon-konon kepentingan meninggalkan ketuanan Melayu dan mendukung Ketuanan Rakyat. Soalan Melayu perlu ditangani dan soal meningkatkan martabat Melayu perlu menjadi prioriti semua Melayu.

Kita perlu pegang perjuangan Ketuanan Melayu – memperjuangkan hak dan mempertahankan apa yang ada dan menuntut apa yang tiris kembali. Apa salah perjuangan ini?

Monday, April 14, 2008

UMNO,PKR dan PAS perlu muafakat pertahan hak Melayu

Saranan Dato Norza Zakaria adalah untuk semua Melayu tidak kira apa parti sekali pun perlu bersatu untuk mempertahankan hak Melayu. Adakah saranan ini dangkal? Adakah sebenarnya ini perlu dilakukan demi bangsa kita? Ketuanan Melayu adalah hak yang perlu dipertahankan. Menolak garis penghalang seperti politik adalah penting untuk kita Melayu. Kestabilan sosiopolitik negara ini juga pasti terjamin sekiranya hak kita terpelihara dan hak kaum-kaum lain tidak di diskriminasi. Apa pendapat anda?


Kenyataan Dato Norza Zakaria 14hb April 2008

KUALA LUMPUR 13 April – Pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa mengadakan permuafakatan bagi membincangkan hala tuju bangsa Melayu di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, permuafakatan pemimpin-pemimpin Melayu daripada ketiga-tiga parti itu perlu diadakan supaya isu-isu berkaitan orang Melayu tidak dipolitikkan.
Menurut beliau, tiga perkara penting berkaitan orang Melayu dan yang akan menentukan masa depan mereka di negara ini ialah membabitkan agama Islam, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pendidikan.

“Sudah tiba masanya pemimpin Melayu daripada ketiga-tiga parti politik itu berbincang dan mendapatkan persetujuan bersama supaya tiga perkara membabitkan bangsa Melayu itu tidak boleh disentuh dan diganggu oleh orang lain.

“Sekiranya ada pihak yang cuba mengganggu tiga perkara tersebut, pemimpin-pemimpin ini akan mempertahankan hak orang Melayu dengan pendekatan yang sama,” kata Norza selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Kelima Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, dekat sini hari ini.

Norza yang juga Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu mahu orang Melayu mempertahankan ketiga-tiga perkara itu sebagai hak bangsa Melayu dengan mengetepikan perbezaan parti politik.

“Sebagai contoh, orang Cina mengetepikan soal perbezaan parti politik dalam menangani dan memperjuangkan isu sekolah Cina dan sepatutnya orang Melayu juga bersikap dan bertindak demikian,” tegasnya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti hujung tahun ini, Norza berkata, beliau tidak akan bertanding merebut jawatan itu tetapi hanya akan mempertahankan kerusi MT.

Menurut beliau, masa ini lebih tepat untuk merawat hati-hati yang sudah luka dan mereka ingin melihat UMNO membuat perubahan dan menjadi sebuah parti yang tetap disanjung dari dahulu sehingga sekarang.

Dalam pada itu Norza mengingatkan supaya UMNO yang telah ‘tenat’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu perlu menjalani proses pemulihan seperti orang sakit yang dimasukkan ke hospital.

Dalam perkara ini katanya, UMNO tidak boleh berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, kerana sekiranya itu terjadi, maka perubahan atau pemulihan akan berjalan dengan lebih perlahan.

“Kita sepatutnya keluar daripada permainan tuduh-menuduh sebaliknya turun ke padang untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Kita tidak mahu adegan tuduh-menuduh ini menjadi show case untuk tontonan orang lain.

“Jika berlarutan saya khuatir satu hari nanti orang akan menganggap UMNO tidak relevan lagi,” jelasnya.

Menurut beliau, parti pembangkang semakin memperbaiki kedudukan mereka kerana kelemahan UMNO yang mempunyai masalah dalaman yang didedahkan kepada pengetahuan orang luar.

Pembangkang katanya, belajar daripada kelemahan dan masalah UMNO untuk mentadbir negara hari ini.

Norza berkata, “jika kita cepat tutup dan menyelesaikan semua masalah kita, maka lagi cepat kita akan bergerak walaupun yang telah kalah dalam pilihan raya lalu untuk terpaksa bekerja keras.”

Tuesday, April 08, 2008

Dilema Melayu?

Tidak dapat tidak, persoalan mengenai Melayu perlu ditanya. Mahu tidak mahu rakyat Malaysia sudah membuat keputusan pada PRU 12 lalu. Namun hari ini ada persoalan yang perlu dijawab dan perlu ditanya. Adakah PRU 12 itu merupakan kemenangan untuk orang Melayu? Adakah ini kemenangan bangsa Malaysia dan apa dia Malaysia Baru yang dikatakan oleh Presiden PAS dalam kenyataan media 1 April 2008 yang mempelawa wakil-wakil rakyat UMNO untuk menyertai Pakatan Rakyat. Persoalan selepas pilihan raya ini nampak semakin merunsingkan. Pertanyaan semakin membuak – semakin mendesak – semakin meragukan. Adakah ini kekalahan Melayu? Adakah PRU itu menunjukkan Melayu tewas dan Melayu hilang pegangan pendirian seperti pernah digambarkan oleh Dato Onn Jaafar sebelum ini.

Gambaran Datuk Onn 3/8/50 mengenai orang - orang Melayu dapat di lihat dalam tulisan beliau di Warta Negara 1950;

Saya nampak gambaran yang berlainan coraknya daripada gambaran yang sedia ada di hadapan mata kebanyakan orang - orang Melayu. Gambar yang ada di hadapan saya ialah apa yang akan di sertakan oleh orang - orang Melayu sendiri , ia itu gambar menunjukkan pendirian orang - orang Melayu dan gambar perbuatan orang - orang Melayu. Satu gambar lagi ialah gambar gelap yang tidak menunjukkan pendirian orang - orang Melayu. Perbezaan itu amat mustahak ia itu perbezaan yang boleh menentukan nasib orang - orang Melayu.

Sebenarnya ini bukan satu persoalan lagi bahkan ini sebenarnya membentuk satu realiti Dilema Orang Melayu abad ini. Selepas PRU 12, persoalan pokok mengenai Dilema Melayu timbul. Apakah gambaran gelap yang tidak menunjukkan pendirian orang Melayu akan melenyapkan kewujudan Melayu itu sendiri? Apakah benar ada Malaysia Baru seperti sasaran Tn Hj Hadi atau erti Melayu itu sendiri kekal statik dan tidak bermaya. Adakah sebenarnya Melayu MENANG DALAM PRU 12 INI?

Kekesalan

Ada gambaran yang menunjukkan kekesalan orang Melayu selepas PRU 12. Ada yang memberi kenyataan yang menarik untuk di ulas. Antara katanya, “ Benar UMNO telah bertindak untuk mengayakan segelintir mereka dan Pakatan Rakyat menggelar polisi bumiputera sebagai UMNO putera namun perkataan hikmat di situ adalah MENGAYAKAN. Kini dengan PRU 12 ada suara kesal kedengaran kerana takut kuasa yang ada – terlerai dan pegangan Melayu dari semua aspek semakin merosot dan ilustrasi yang tinggal adalah MEMISKINKAN Melayu.

Adakah ini realiti kecenderungan yang ada selepas PRU 12? Adakah ada kecenderungan bahawa setelah PRU 12 ini maka tertirisnya pegangan politik orang Melayu? Sudahlah ekonomi kita adalah di peringkat terendah adakah dengan kemenangan Pakatan Rakyat maka ada pembelaan oleh orang Cina terhadap Melayu di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur. Dengan lain perkataan - kalau dominasi kaum Cina dalam politik dan ekonomi wujud, apakah terbela kita orang Melayu. Ini bukan soalan rasis – ini soal keraguan – perlu diambil kira dan perlu diberi tumpuan serius.

Kepastian

Apa yang perlu adalah kepastian. Keraguan mula timbul dan keraguan ini perlu dijawab dengan tindakan dan bukan retorik sahaja. Kepastian perlu dibuat secara terbuka dan diusahakan dengan lebih serius lagi kerana kekeliruan dan keraguan akan menyebabkan gangguan dalam senario sosiopolitik negara ini. Namun yang penting adalah untuk orang Melayu sedar akan pegangan prinsip dan pendirian kita sebagai orang Melayu. Kita tidak mahu selepas pilihan raya ini, melangkau jauh sedikit dalam kalender pemerintahan Pakatan Rakyat, orang Melayu mula gelisah dan mempersoalkan kedudukan mereka. Sekira ini berlaku maka Delima Melayu 2008 akan menghambat keharmonian dan kemakmuran yang ada.

Adakah kemungkinan ini wujud? Sekiranya ada, pengenduran perlu dilakukan segera dan kita jangan terlampau ghairah memperkatakan mengenai Bangsa Malaysia tetapi isinya kosong tanpa kejituan. Melayu itu tetap Melayu, Cina tetap Cina dan begitu juga bangsa lain. Pengiraan tergopoh gapah dalam mengertikan Bangsa Malaysia akan hanya membentuk bangsa palsu yang akan menyulitkan keadaan. Adakah mungkin Melayu tersasar dalam memberi kesedaran pada kerajaan yang ada ini? Satu soalan yang perlu difikirkan dan adalah satu usaha penting untuk kerajaan negeri yang di tadbir oleh Pakatan Rakyat untuk memperjelaskan. Tanpa penjelasan itu maka Delima Melayu akan terus menghantui kita dan bangsa ini kemudiannya akan belayar tanpa keperibadian dan prinsip. Ini mampu menghapuskan kewujudan Melayu itu sendiri.

Teringat pada satu program anjuran Sekretariat Melayu Muda - Adakah Melayu dalam Bahaya?